DASAR pertama yang
ditetapkan Islam, ialah: bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah adalah halal
dan mubah. Tidak ada satupun yang haram, kecuali kerana ada nash yang sah dan tegas dari syari' (yang berwenang membuat hukum
itu sendiri, iaitu Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas
yang sah --misalnya kerana ada sebahagian Hadis lemah-- atau tidak ada nas yang
tegas (sharih) yang menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya,
iaitu mubah.
Ulama-ulama Islam mendasarkan ketetapannya, bahawa
segala sesuatu asalnya mubah, seperti tersebut di atas, dengan dalil ayat-ayat
al-Quran yang antara lain:
“Dialah Zat yang menjadikan
untuk kamu apa-apa yang ada di bumi ini semuanya.” (al-Baqarah: 29)
“(Allah) telah
memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi
semuanya daripadaNya.” (al-Jatsiyah: 13)
“Belum tahukah
kamu, bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di
langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Ia telah sempurnakan buat kamu
nikmat-nikmatNya yang nampak mahupun yang tidak nampak.” (Luqman: 20)
Allah tidak akan membuat segala-galanya ini yang
diserahkan kepada manusia dan dikurniakannya, kemudian Dia sendiri mengharamkannya.
Kalau tidak begitu, buat apa Ia jadikan, Dia serahkan kepada manusia dan Dia
kurniakannya?
Beberapa hal yang Allah haramkan itu, justeru kerana
ada sebab dan hikmat, yang --insya Allah-- akan kita sebutkan nanti.
Dengan demikian arena haram dalam syariat Islam itu
sebenarnya sangat sempit sekali; dan arena halal malah justeru sangat luas. Hal
ini adalah justeru nas-nas yang sahih dan tegas dalam hal-haram, jumlahnya
sangat minim sekali. Sedang sesuatu yang tidak ada keterangan halal-haramnya,
adalah kembali kepada hukum asal iaitu halal dan termasuk dalam kategori yang
dima'fukan Allah.
Untuk soal ini ada satu Hadis yang menyatakan sebagai
berikut: "Apa saja yang Allah halalkan dalam kitabNya, maka dia adalah
halal, dan apa saja yang Ia haramkan, maka dia itu adalah haram; sedang apa
yang Ia diamkannya, maka dia itu dibolehkan (ma'fu). Oleh kerana itu terimalah
dari Allah kemaafannya itu, sebab sesungguhnya Allah tidak bakal lupa
sedikitpun." Kemudian Rasulullah membaca ayat: dan Tuhanmu tidak lupa [2].
(Riwayat Hakim dan Bazzar)
"Rasulullah
s.aw. pernah ditanya tentang hukumnya samin, keju dan keledai hutan, maka jawab
beliau: Apa yang disebut halal ialah: sesuatu yang Allah halalkan dalam
kitabNya; dan yang disebut haram ialah: sesuatu yang Allah haramkan dalam
kitabNya; sedang apa yang Ia diamkan, maka dia itu salah satu yang Allah
maafkan buat kamu." (Riwayat Tarmizi dan lbnu Majah)
Rasulullah tidak ingin memberikan jawaban kepada si
penanya dengan menerangkan satu persatunya, tetapi beliau mengembalikan kepada
suatu kaidah yang kiranya dengan kaidah itu mereka dapat diharamkan Allah,
sedang lainnya halal dan baik.
Dan sabda beliau juga, "Sesungguhnya Allah telah
mewajibkan beberapa kewajiban, maka jangan kamu sia-siakan dia; dan Allah telah
memberikan beberapa batas, maka jangan kamu langgar dia; dan Allah telah
mengharamkan sesuatu, maka jangan kamu pertengkarkan dia; dan Allah telah
mendiamkan beberapa hal sebagai tanda kasihnya kepada kamu, Dia tidak lupa,
maka jangan kamu perbincangkan dia." (Riwayat Daraquthni, dihasankan oleh
an-Nawawi)
Di sini ingin pula saya jelaskan, bahawa kaidah asal
segala sesuatu adalah halal ini tidak hanya terbatas dalam masalah benda,
tetapi meliputi masalah perbuatan dan pekerjaan yang tidak termasuk daripada
urusan ibadah, iaitu yang biasa kita istilahkan dengan Adat atau Mu'amalat.
Dasar dalam masalah ini tidak haram dan tidak terikat, kecuali sesuatu yang
memang oleh syari' sendiri telah diharamkan dan dikonkritkannya sesuai dengan
firman Allah:
“Dan Allah
telah memerinci kepadamu sesuatu yang Ia telah haramkan atas kamu.”
(al-An'am: 119)
Ayat ini umum, meliputi soal-coal makanan, perbuatan
dan lain-lain.
Berbeza sekali dengan urusan ibadah. Dia itu
semata-mata urusan agama yang tidak ditetapkan, melainkan dari jalan wahyu.
Untuk itulah, maka terdapat dalam suatu Hadis Nabi yang mengatakan:
"Barangsiapa
membuat cara baru dalam urusan kami, dengan sesuatu yang tidak ada contohnya,
maka dia itu tertolak." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini, adalah karena hakikat AGAMA
--atau katakanlah IBADAH-- itu tercermin dalam dua hal, iaitu:
1. Hanya Allah
lah yang disembah.
2. Untuk
menyembah Allah, hanya dapat dilakukan menurut apa yang disyariatkannya.
Oleh kerana itu, barangsiapa mengada-ada suatu cara
ibadah yang timbul dari dirinya sendiri --apapun macamnya-- adalah suatu
kesesatan yang harus ditolak. Sebab hanya syari'lah yang berhak menentukan cara
ibadah yang dapat dipakai untuk bertaqarrub kepadaNya.
Adapun masalah Adat atau Mu'amalat, sumbernya bukan
dari syari', tetapi manusia itu sendiri yang menimbulkan dan mengadakan. Syari' dalam hal ini tugasnya adalah untuk membetulkan,
meluruskan, mendidik dan mengakui, kecuali dalam beberapa hal yang memang akan
membawa kerusakan dan mudharat.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: "Sesungguhnya sikap manusia, baik yang
berbentuk omongan ataupun perbuatan ada dua macam: ibadah untuk kemaslahatan
agamanya, dan kedua adat (kebiasaan) yang sangat mereka perlukan demi
kemaslahatan dunia mereka Maka dengan terperincinya dasar-dasar syariat, kita
dapat mengakui, bahawa seluruh ibadah yang telah dibenarkannya, hanya dapat
ditetapkan dengan ketentuan syara' itu sendiri."
Adapun masalah Adat iaitu yang biasa dipakai ummat
manusia demi kemaslahatan dunia mereka sesuai dengan apa yang mereka perlukan,
semula tidak terlarang. Semuanya boleh, kecuali hal-hal yang oleh Allah
dilarangnya Demikian itu adalah kerana perintah dan larangan, kedua-duanya
disyariatkan Allah. Sedang ibadah adalah termasuk yang mesti diperintah. Oleh
kerana itu sesuatu, yang tidak diperintah, bagaimana mungkin dihukumi
terlarang.
Imam Ahmad dan beberapa ahli fiqih lainnya
berpendapat: asas dalam urusan ibadah adalah tauqif (bersumber pada ketetapan
Allah dan Rasul). Oleh kerana itu ibadah tersebut tidak boleh dikerjakan,
kecuali kalau ternyata telah disyariatkan oleh Allah. Kalau tidak demikian,
berarti kita akan termasuk dalam apa yang disebutkan Allah:
“Apakah mereka
itu mempunyai sekutu yang mengadakan agama untuk mereka, sesuatu yang tidak
diizinkan oleh Allah?” (as-Syura: 21)
Sedang dalam persoalan Adat prinsipnya boleh. Tidak
satupun yang terlarang, kecuali yang memang telah diharamkan. Kalau tidak
demikian, maka kita akan termasuk dalam apa yang dikatakan Allah:
“Katakanlah!
Apakah kamu sudah mengetahui sesuatu yang diturunkan Allah untuk kamu daripada
rezeki, kemudian kamu jadikan daripadanya itu haram dan halal? Katakanlah!
Apakah Allah telah memberi izin kepadamu, ataukah kamu memang berdusta atas
(nama) Allah?” (Yunus: 59)
Ini adalah suatu kaidah yang besar sekali manfaatnya.
Dengan dasar itu pula kami berpendapat: bahawa jual-bell, hibah, sewa-menyewa
dan lain-lain adat yang selalu diperlukan manusia untuk mengatur kehidupan
mereka seperti makan, minum dan pakaian. Agama membawakan beberapa etika yang
sangat baik sekali, iaitu mana yang sekiranya membawa bahaya, diharamkan;
sedang yang mesti, diwajibkannya. Yang tidak layak, dimakruhkan; sedang yang
jelas membawa maslahah, disunnatkan.
Dengan dasar itulah maka manusia dapat melakukan
jual-beli dan sewa-menyewa sesuka hatinya, selama dia itu tidak diharamkan oleh
syara'. Begitu juga mereka boleh makan dan minum sesukanya, selama dia itu
tidak diharamkan oleh syara', sekalipun sebahagiannya ada yang oleh syara' kadangkadang
disunnatkan dan ada kalanya dimakruhkan. Sesuatu yang oleh syara' tidak
diberinya pembatasan, mereka dapat menetapkan menurut kemutlakan hukum asal
[3].
Prinsip di atas, sesuai dengan apa yang disebut dalam
Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Jabir bin Abdillah, ia
berkata: "Kami pemah melakukan 'azl' [4], sedang waktu itu al-Quran masih
turun; kalau hal tersebut dilarang, niscaya al-Quran akan melarangnya."
Ini menunjukkan, bahawa apa saja yang didiamkan oleh
wahyu, bukanlah terlarang. Mereka bebas untuk mengerjakannya, sehingga ada nas
yang melarang dan mencegahnya.
Demikianlah salah satu daripada kesempurnaan
kecerdasan para sahabat. Dan dengan ini pula, ditetapkan suatu kaidah: "Soal ibadah tidak boleh dikerjakan kecuali
dengan syariat yang ditetapkan Allah; dan suatu hukum adat tidak boleh
diharamkan, kecuali dengan ketentuan yang diharamkan oleh Allah."
sumber: HALAL dan HARAM. DR. Yusuf Al-Qardawi
sumber: HALAL dan HARAM. DR. Yusuf Al-Qardawi
Tidak ada komentar:
Posting Komentar