Pertanyaan:
Sebuah persoalan yang sedang saya hadapi, dan sudah
barang tentu juga dihadapi orang lain, iaitu masalah berjabat tangan antara
laki-laki dengan wanita, khususnya terhadap kerabat yang bukan mahram saya,
seperti anak paman atau anak bibi, atau isteri saudara ayah atau isteri saudara
ibu, atau saudara wanita isteri saya, atau wanita-wanita lainnya yang ada
hubungan kekerabatan atau persemendaan dengan saya. Lebih-lebih dalam
momen-momen tertentu, seperti datang dari bepergian, sembuh dari sakit, datang
dari haji atau umrah, atau saat-saat lainnya yang biasanya para kerabat,
semenda, tetangga, dan teman-teman lantas menemuinya dan bertahni'ah
(mengucapkan selamat atasnya) dan berjabat tangan antara yang satu dengan yang
lain.
Pertanyaan saya, apakah ada nash Al-Qur'an atau As-Sunnah
yang mengharamkan berjabat tangan antara laki-laki dengan wanita, sementara
sudah saya sebutkan banyak motivasi kemasyarakatan atau kekeluargaan yang
melatarinya, disamping ada rasa saling percaya. aman dari fitnah, dan jauh dari
rangsangan syahwat. Sedangkan kalau kita tidak mahu berjabat tangan, maka
mereka memandang kita orang-orang beragama ini kuno dan terlalu ketat,
merendahkan wanita, selalu berprasangka buruk kepadanya, dan sebagainya.
Apabila ada dalil syar'inya, maka kami akan
menghormatinya dengan tidak ragu-ragu lagi, dan tidak ada yang kami lakukan
kecuali mendengar dan mematuhi, sebagai konsekuensi keimanan kami kepada Allah
dan Rasul-Nya. Dan jika hanya semata-mata hasil ijtihad fuqaha-fuqaha kita terdahulu,
maka adakalanya fuqaha-fuqaha kita sekarang boleh berbeza pendapat dengannya,
apabila mereka mempunyai ijtihad yang benar, dengan didasarkan pada tuntutan
peraturan yang senantiasa berubah dan kondisi kehidupan yang selalu berkembang.
Kerana itu, saya menulis surat ini kepada Ustadz dengan
harapan Ustadz berkenan membahasnya sampai ke akar-akarnya berdasarkan
Al-Qur'anul Karim dan Al-Hadis asy-Syarif. Kalau ada dalil yang melarang sudah
tentu kami akan berhenti; tetapi jika dalam hal ini terdapat kelapangan, maka
kami tidak mempersempit kelapangan-kelapangan yang diberikan Allah kepada kami,
lebih-lebih sangat diperlukan dan boleh menimbulkan "bencana" kalau
tidak dipenuhi.
Saya berharap kesibukan-kesibukan Ustadz yang banyak itu
tidak menghalangi Ustadz untuk menjawab surat saya ini, sebab - sebagaimana
saya katakan di muka - persoalan ini bukan persoalan saya seorang, tetapi
mungkin persoalan berjuta-juta orang seperti saya.
Semoga Allah melapangkan dada Ustadz untuk menjawab, dan
memudahkan kesempatan bagi Ustadz untuk menahkik masalah, dan mudah-mudahan Dia
menjadikan Ustadz bermanfaat.
Jawapan:
Tidak perlu saya sembunyikan kepada saudara penanya
bahawa masalah hukum berjabat tangan antara laki-laki dengan perempuan - yang
saudara tanyakan itu - merupakan masalah yang amat penting, dan untuk menahkik
hukumnya tidak boleh dilakukan dengan seenaknya. Ia memerlukan kesungguhan dan
pemikiran yang optimal dan ilmiah sehingga si mufti harus bebas dari tekanan
fikiran orang lain atau fikiran yang telah diwarisi dari masa-masa lalu,
apabila tidak didapati acuannya dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah sehingga
argumen-argumennya dapat didiskusikan untuk memperoleh pendapat yang lebih kuat
dan lebih mendekati kebenaran menurut pandangan seorang faqih, yang di dalam
pembahasannya hanya mencari ridha Allah, bukan memperturutkan hawa nafsu.
Sebelum memasuki pembahasan dan diskusi ini, saya ingin
mengeluarkan dua buah gambaran dari lapangan Perbezaan pendapat ini, yang saya
percaya bahawa hukum kedua gambaran itu tidak diperselisihkan oleh
fuqaha-fuqaha terdahulu, menurut pengetahuan saya. Kedua gambaran itu ialah:
Pertama, diharamkan berjabat tangan dengan wanita apabila
disertai dengan syahwat dan taladzdzudz (berlazat-lazat) dari salah satu pihak,
laki-laki atau wanita (kalau keduanya dengan syahwat sudah barang tentu lebih
terlarang lagi; penj.) atau dibelakang itu dikhuwatirkan terjadinya fitnah,
menurut dugaan yang kuat. Ketetapan diambil berdasarkan pada hipotesis bahawa
menutup jalan menuju kerosakan itu adalah wajib, lebih-lebih jika telah tampak
tanda-tandanya dan tersedia sarananya.
Hal ini diperkuat lagi oleh apa yang dikemukakan para
ulama bahawa bersentuhan kulit antara laki-laki dengannya - yang pada asalnya
mubah itu - boleh berubah menjadi haram apabila disertai dengan syahwat atau
dikhuwatirkan terjadinya fitnah,[1] khususnya dengan anak perempuan si isteri
(anak tiri), atau saudara sepersusuan, yang perasaan hatinya sudah barang tentu
tidak sama dengan perasaan hati ibu kandung, anak kandung, saudara wanita
sendiri, bibi dari ayah atau ibu, dan sebagainya.
Kedua, kemurahan (diperbolehkan) berjabat tangan dengan
wanita tua yang sudah tidak mempunyai gairah terhadap laki-laki, demikian pula
dengan anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap laki-laki, kerana
berjabat tangan dengan mereka itu aman dari sebab-sebab fitnah. Begitu pula
bila si laki-laki sudah tua dan tidak mempunyai gairah terhadap wanita.
Hal ini didasarkan pada riwayat dari Abu Bakar r.a.
bahawa beliau pernah berjabat tangan dengan beberapa orang wanita tua, dan
Abdullah bin Zubair mengambil pembantu wanita tua untuk merawatnya, maka wanita
itu mengusapnya dengan tangannya dan membersihkan kepalanya dari kutu.''[2]
Hal ini sudah ditunjukkan Al-Qur'an dalam membicarakan
perempuan-perempuan tua yang sudah berhenti (dari haid dan mengandung), dan
tiada gairah terhadap laki-laki, dimana mereka diberi keringanan dalam beberapa
masalah pakaian yang tidak diberikan kepada yang lain:
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari
haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa
menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan
berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.” (an-Nur: 60)
Dikecualikan pula laki-laki yang tidak memiliki gairah
terhadap wanita dan anak-anak kecil yang belum muncul hasrat seksualnya. Mereka
dikecualikan dari sasaran larangan terhadap wanita-wanita mukminah dalam hal
menampakkan perhiasannya.
“... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke
dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka,
atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau
putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan
mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau
pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau
anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita ...” (an-Nur: 31)
Selain dua kelompok yang disebutkan itulah yang menjadi
tema pembicaraan dan pembahasan serta memerlukan pengkajian dan tahkik.
Golongan yang mewajibkan wanita menutup seluruh tubuhnya
hingga wajah dan telapak tangannya, dan tidak menjadikan wajah dan tangan ini
sebagai yang dikecualikan oleh ayat:
“... Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya
kecuali yang biasa tampak daripadanya ...” (an-Nur: 31)
Bahkan mereka menganggap bahawa perhiasan yang biasa
tampak itu adalah pakaian luar seperti baju panjang, mantel, dan sebagainya,
atau yang tampak kerana darurat seperti tersingkap kerana ditiup angin kencang
dan sebagainya. Maka tidak menghairankan lagi bahawa berjabat tangan antara
laki-laki dengan wanita menurut mereka adalah haram. Sebab, apabila kedua
telapak tangan itu wajib ditutup maka melihatnya adalah haram; dan apabila
melihatnya saja haram, apa lagi menyentuhnya. Sebab, menyentuh itu lebih berat
daripada melihat, kerana ia lebih merangsang, sedangkan tidak ada jabat tangan
tanpa bersentuhan kulit.
Tetapi sudah dikenal bahawa mereka yang berpendapat
demikian adalah golongan minoriti, sedangkan majoriti fuqaha dari kalangan
sahabat, tabi'in, dan orang-orang sesudah mereka berpendapat bahawa yang
dikecualikan dalam ayat "kecuali yang biasa tampak daripadanya"
adalah wajah dan kedua (telapak) tangan.
Maka apakah dalil mereka untuk mengharamkan berjabat
tangan yang tidak disertai syahwat?
Sebenarnya saya telah berusaha mencari dalil yang
memuaskan yang secara tegas menetapkan demikian, tetapi tidak saya temukan.
Dalil yang terkuat dalam hal ini ialah menutup pintu
fitnah (saddudz-dzari'ah), dan alasan ini dapat diterima tanpa ragu-ragu lagi
ketika syahwat tergerak, atau kerana takut fitnah bila telah tampak
tanda-tandanya. Tetapi dalam kondisi aman - dan ini sering terjadi - maka
dimanakah letak keharamannya?
Sebahagian ulama ada yang berdalil dengan sikap Nabi saw.
Yang tidak berjabat tangan dengan perempuan ketika beliau membai'at mereka pada
waktu penaklukan Mekah yang terkenal itu, sebagaimana disebutkan dalam surah
al-Mumtahanah.
Tetapi ada satu muqarrar (ketetapan) bahawa apabila Nabi
saw. meninggalkan suatu urusan, maka hal itu tidak menunjukkan - secara pasti -
akan keharamannya. Adakalanya beliau meninggalkan sesuatu kerana haram,
adakalanya kerana makruh, adakalanya hal itu kurang utama, dan adakalanya hanya
semata-mata kerana beliau tidak berhasrat kepadanya, seperti beliau tidak
memakan daging biawak padahal daging itu mubah.
Kalau begitu, sikap Nabi saw. tidak berjabat tangan
dengan wanita itu tidak dapat dijadikan dalil untuk menetapkan keharamannya,
oleh kerana itu harus ada dalil lain bagi orang yang berpendapat demikian.
Lebih dari itu, bahawa masalah Nabi saw. tidak berjabat
tangan dengan kaum wanita pada waktu bai'at itu belum disepakati, kerana
menurut riwayat Ummu Athiyah al-Anshariyah r.a. bahawa Nabi saw. pernah
berjabat tangan dengan wanita pada waktu bai'at, berbeza dengan riwayat dari
Ummul Mukminin Aisyah r.a. dimana beliau mengingkari hal itu dan bersumpah
menyatakan tidak terjadinya jabat tangan itu.
Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya dari Aisyah
bahawa Rasulullah saw. menguji wanita-wanita mukminah yang berhijrah dengan
ayat ini, iaitu firman Allah:
“Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan
yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tidak akan
mempersekutukan sesuatu pun dengan Allah; tidak akan mencuri, tidak akan
berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka
ada-adakan antara tangan dengan kaki mereka[3] dan tidak akan mendurhakaimu
dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah
ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.” (al-Mumtahanah: 12)
Aisyah berkata, "Maka barangsiapa diantara
wanita-wanita beriman itu yang menerima syarat tersebut, Rasulullah saw.
berkata kepadanya, "Aku telah membai'atmu - dengan perkataan saja - dan
demi Allah tangan beliau sama sekali tidak menyentuh tangan wanita dalam bai'at
itu; beliau tidak membai'at mereka melainkan dengan mengucapkan, 'Aku telah
membai'atmu tentang hal itu.'"[4]
Dalam mensyarah perkataan Aisyah "Tidak, demi Allah
...," al-Hafizh Ibnu Hajar berkata dalam Fathul Bari sebagai berikut:
Perkataan itu berupa sumpah untuk menguatkan berita, dan dengan perkataannya
itu seakan-akan Aisyah hendak menyangkal berita yang diriwayatkan dari Ummu
Athiyah. Menurut riwayat Ibnu Hibban, al-Bazzar, ath-Thabari, dan Ibnu
Mardawaih, dari (jalan) Ismail bin Abdurrahman dari neneknya, Ummu Athiyah,
mengenai kisah bai'at, Ummu Athiyah berkata:
"Lalu Rasulullah saw. mengulurkan tangannya dari
luar rumah dan kami mengulurkan tangan kami dari dalam rumah, kemudian beliau
berucap, 'Ya Allah, saksikanlah.'"
Demikian pula hadis sesudahnya - yakni sesudah hadis yang
tersebut dalam al-Bukhari - dimana Aisyah mengatakan:
"Seorang wanita menahan tangannya"
Memberi kesan seolah-olah mereka melakukan bai'at dengan
tangan mereka.
Al-Hafizh (Ibnu Hajar) berkata: "Untuk yang pertama
itu dapat diberi jawapan bahawa mengulurkan tangan dari balik hijab
mengisyaratkan telah terjadinya bai'at meskipun tidak sampai berjabat tangan...
Adapun untuk yang kedua, yang dimaksud dengan menggenggam tangan itu ialah
menariknya sebelum bersentuhan... Atau bai'at itu terjadi dengan menggunakan
lapis tangan.
Abu Daud meriwayatkan dalam al-Marasil dari asy-Sya'bi
bahawa Nabi saw. ketika membai'at kaum wanita beliau membawa kain selimut
bergaris dari Qatar lalu beliau meletakkannya di atas tangan beliau, seraya
berkata,
"Aku tidak berjabat dengan wanita."
Dalam Maghazi Ibnu Ishaq disebutkan bahawa Nabi saw.
memasukkan tangannya ke dalam bejana dan wanita itu juga memasukkan tangannya
bersama beliau.
Ibnu Hajar berkata: "Dan boleh jadi berulang-ulang,
yakni peristiwa bai'at itu terjadi lebih dari satu kali, diantaranya ialah
bai'at yang terjadi di mana beliau tidak menyentuh tangan wanita sama sekali,
baik dengan menggunakan lapis mahupun tidak, beliau membai'at hanya dengan
perkataan saja, dan inilah yang diriwayatkan oleh Aisyah. Dan pada kesempatan
yang lain beliau tidak berjabat tangan dengan wanita dengan menggunakan lapis,
dan inilah yang diriwayatkan oleh asy-Sya'bi."
Diantaranya lagi ialah dalam bentuk seperti yang
disebutkan Ibnu Ishaq, iaitu memasukkan tangan kedalam bejana. Dan ada lagi
dalam bentuk seperti yang ditunjukkan oleh perkataan Ummu Athiyah, iaitu
berjabat tangan secara langsung.
Diantara alasan yang memperkuat kemungkinan
berulang-ulangnya bai'at itu ialah bahawa Aisyah membicarakan bai'at
wanita-wanita mukminah yang berhijrah setelah terjadinya peristiwa Perjanjian
Hudaibiyah, sedangkan Ummu Athiyah - secara lahiriah - membicarakan yang lebih
umum daripada itu dan meliputi bai'at wanita mukminah secara umum, termasuk di
dalamnya wanita-wanita Anshar seperti Ummu Athiyah si perawi hadis. Kerana itu,
Imam Bukhari memasukkan hadis Aisyah di bawah bab "Idzaa Jaa aka
al-Mu'minaat Muhaajiraat," sedangkan hadis Ummu Athiyah dimasukkan dalam
bab "Idzaa Jaa aka al- Mu'minaat Yubaayi'naka."
Maksud pengutipan semua ini ialah bahawa apa yang
dijadikan acuan oleh kebanyakan orang yang mengharamkan berjabat tangan antara
laki-laki dengan perempuan - iaitu bahawa Nabi saw. tidak berjabat tangan
dengan wanita - belumlah disepakati. Tidak seperti sangkaan orang-orang yang
tidak merujuk kepada sumber-sumber aslinya. Masalah ini bahkan masih
diperselisihkan sebagaimana yang telah saya kemukakan.
Sebahagian ulama sekarang ada yang mengharamkan berjabat
tangan dengan wanita dengan mengambil dalil riwayat Thabrani dan Baihaqi dari
Ma'qil bin Yasar dari Nabi saw., beliau bersabda:
"Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang
diantara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada ia menyentuh wanita
yang tidak halal baginya."[5]
Ada beberapa hal yang perlu diperhatikan berkenaan dengan
pengambilan hadis di atas sebagai dalil:
1. Bahawa imam-imam ahli hadis tidak menyatakan secara
jelas akan kesahihan hadis tersebut, hanya orang-orang seperti al-Mundziri dan
al-Haitsami yang mengatakan, "Perawi-perawinya adalah perawi-perawi
kepercayaan atau perawi-perawi sahih."
Perkataan seperti ini saja tidak cukup untuk menetapkan
kesahihan hadis tersebut, kerana masih ada kemungkinan terputus jalan
periwayatannya (inqitha') atau terdapat 'illat (cacat) yang samar. Kerana itu,
hadis ini tidak diriwayatkan oleh seorang pun dari penyusun kitab-kitab yang
masyhur, sebagaimana tidak ada seorang pun fuqaha terdahulu yang menjadikannya
sebagai dasar untuk mengharamkan berjabat tangan antara laki-laki dengan
perempuan dan sebagainya.
2. Fuqaha Hanafiyah dan sebahagian fuqaha Malikiyah
mengatakan bahawa pengharaman itu tidak dapat ditetapkan kecuali dengan dalil
qath'i yang tidak ada kesamaran padanya, seperti Al-Qur'anul Karim serta
hadis-hadis mutawatir dan masyhur. Adapun jika ketetapan atau kesahihannya
sendiri masih ada kesamaran, maka hal itu tidak lain hanyalah menunjukkan hukum
makruh, seperti hadis-hadis ahad yang sahih. Maka bagaimana lagi dengan hadis
yang diragukan kesahihannya?
3. Andaikata kita terima bahawa hadis itu sahih dan dapat
digunakan untuk mengharamkan suatu masalah, maka saya dapati petunjuknya tidak
jelas. Kalimat "menyentuh kulit wanita yang tidak halal baginya" itu
tidak dimaksudkan semata-mata bersentuhan kulit dengan kulit tanpa syahwat, sebagaimana
yang biasa terjadi dalam berjabat tangan. Bahkan kata-kata al-mass (massa -
yamassu - mass: menyentuh) cukup digunakan dalam nash-nash syar'iyah seperti
Al-Qur'an dan As-Sunnah dengan salah satu dari dua pengertian, iaitu:
a. Bahawa ia merupakan kinayah (kiasan) dari hubungan
biologis (jima') sebagaimana diriwayatkan Ibnu Abbas dalam menafsirkan firman
Allah: "Laamastum an-Nisat" (Kamu
menyentuh wanita). Ibnu Abbas berkata, "Lafal al-lams,
al-mulaamasah, dan al-mass dalam Al-Qur'an dipakai sebagai kiasan untuk jima'
(hubungan seksual). Secara umum, ayat-ayat Al-Qur'an yang menggunakan kata
al-mass menunjukkan erti seperti itu dengan jelas, seperti firman Allah yang
diucapkan Maryam:
“Betapa mungkin aku akan mempunyai anak padahal aku belum
pernah disentuh oleh seorang laki-laki pun ...” (Ali Imran: 47)
“Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu
menyentuh mereka...” (al-Baqarah: 237)
Dalam hadis diceritakan bahawa Nabi saw. Mendekati
isteri-isterinya tanpa menyentuhnya ....
b. Bahawa yang dimaksud ialah tindakan-tindakan dibawah
kategori jima', seperti mencium, memeluk, merangkul, dan lain-lain yang
merupakan pendahuluan bagi jima' (hubungan seksual). Ini diriwayatkan oleh
sebahagian ulama salaf dalam menafsirkan makna kata mulaamasah.
Al-Hakim mengatakan dalam "Kitab ath-Thaharah"
dalam al-Mustadrak 'al a ash-Shahihaini seperti berikut :
Imam Bukhari dan Muslim telah sepakat mengeluarkan
hadis-hadis yang berserakan dalam dua musnad yang sahih yang menunjukkan bahawa
al-mass itu bererti sesuatu (tindakan) dibawah jima':
(1) Diantaranya hadis Abu
Hurairah:
"Tangan, zinanya ialah menyentuh..."
(2) Hadis Ibnu Abbas:
"Barangkali engkau menyentuhnya...?"
(3) Hadis lbnu Mas'ud:
"Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang
(pagi dan petang)..."[6]
Al-Hakim berkata, "Dan masih ada beberapa hadis
sahih pada mereka (Bukhari dan Muslim) mengenai tafsir dan lainnya ..."
Kemudian al-Hakim menyebutkan diantaranya:
(4) Dari Aisyah, ia berkata:
"Sedikit sekali hari (berlalu) kecuali Rasulullah
saw. mengelilingi kami semua - yakni isteri-isterinya - lalu beliau mencium dan menyentuh yang derjatnya
dibawah jima'. Maka apabila beliau tiba di rumah isteri yang waktu giliran
beliau di situ, beliau menetap di situ."
(5) Dari Abdullah bin Mas'ud, ia berkata, "Au
laamastum an-nisa" (atau kamu menyentuh wanita) ialah tindakan dibawah
jima', dan untuk ini wajib wudhu."
(6) Dan dari Umar, ia berkata, "Sesungguhnya mencium
itu termasuk al-lams, oleh sebab itu berwudhulah kerananya."[7]
Berdasarkan nash-nash yang telah disebutkan itu, maka
mazhab Maliki dan mazhab Ahmad berpendapat bahawa menyentuh wanita yang
membatalkan wudhu itu ialah yang disertai dengan syahwat. Dan dengan pengertian
seperti inilah mereka menafsirkan firman Allah, "au laamastum
an-nisa'" (atau kamu menyentuh wanita).
Kerana itu, Syekhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Fatawa-nya
melemahkan pendapat orang yang menafsirkan lafal "mulaamasah" atau
"al-lams" dalam ayat tersebut dengan semata-mata bersentuhan kulit
walaupun tanpa syahwat.
Diantara yang beliau katakan mengenai masalah ini seperti
berikut:
Adapun menggantungkan batalnya wudhu dengan menyentuh
semata-mata (persentuhan kulit, tanpa syahwat), maka hal ini bertentangan
dengan ushul, bertentangan dengan ijma' sahabat, bertentangan dengan atsar,
serta tidak ada nash dan qiyas bagi yang berpendapat begitu.
Apabila lafal al-lams (menyentuh) dalam firman Allah
(atau jika kamu menyentuh wanita ...) itu dimaksudkan untuk menyentuh dengan
tangan atau mencium dan sebagainya - seperti yang dikatakan Ibnu Umar dan
lainnya - maka sudah dimengerti bahawa ketika hal itu disebutkan dalam
Al-Qur'an dan As-Sunnah, yang dimaksud ialah yang dilakukan dengan bersyahwat,
seperti firman Allah dalam ayat i'tikaf: “... Dan janganlah kamu me-mubasyarah
mereka ketika kamu sedang i'tikaf dalam masjid...” (al-Baqarah: 187)
Mubasyarah (memeluk) bagi orang yang sedang i'tikaf
dengan tidak bersyahwat itu tidak diharamkan, berbeza dengan memeluk yang
disertai syahwat.
Demikian pula firman Allah: “Jika kamu menceraikan
isteri-isterimu sebelum kamu menyentuh mereka ..." (al-Baqarah: 237). Atau
dalam ayat sebelumnya disebutkan: "Tidak ada kewajipan membayar (mahar)
atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu menyentuh mereka
...” (al-Baqarah: 236).
Kerana seandainya si suami hanya menyentuhnya dengan
sentuhan biasa tanpa syahwat, maka tidak wajib iddah dan tidak wajib membayar
mahar secara utuh serta tidak menjadikan mahram kerana persemendaan menurut
kesepakatan ulama.
Barangsiapa menganggap bahawa lafal au laamastum an-nisa'
mencakup sentuhan biasa meskipun tidak dengan bersyahwat, maka ia telah
menyimpang dari bahasa Al-Qur'an, bahkan menyimpang dari bahasa manusia
sebagaimana yang sudah dikenal. Sebab, jika disebutkan lafal al-mass
(menyentuh) yang diiringi dengan laki-laki dan perempuan, maka tahulah dia
bahawa yang dimaksud ialah menyentuh dengan bersyahwat, sebagaimana bila
disebutkan lafal al-wath'u (yang asal ertinya "menginjak") yang
diikuti dengan kata-kata laki-laki dan perempuan, maka tahulah ia bahawa yang
dimaksud ialah al-wath'u dengan kemaluan (yakni bersetubuh), bukan menginjak
dengan kaki."[8]
Di tempat lain lbnu Taimiyah menyebutkan bahawa para
sahabat berbeza pendapat mengenai maksud firman Allah au laamastum annisa'.
Ibnu Abbas dan segolongan sahabat berpendapat bahawa yang dimaksud ialah jima'.
dan mereka berkata, "Allah itu Pemalu dan Maha Mulia. Ia membuat kinayah
untuk sesuatu sesuai dengan yang Ia kehendaki."
Beliau berkata, "Ini yang lebih tepat diantara kedua
pendapat tersebut."
Bangsa Arab dan Mawali juga berbeza pendapat mengenai
makna kata al-lams, apakah ia bererti jima' atau tindakan dibawah jima'. Bangsa
Arab mengatakan, yang dimaksud adalah jima'. Sedangkan Mawali (bekas-bekas
hamba yang telah dimerdekakan) berkata: yang dimaksud ialah tindakan di bawah
jima' (pra-hubungan biologis). Lalu mereka meminta keputusan kepada Ibnu Abbas,
lantas Ibnu Abbas membenarkan bangsa Arab dan menyalahkan Mawali.''[9]
Maksud dikutipnya semua ini ialah untuk kita ketahui
bahawa kata-kata al-mass atau al-lams ketika digunakan dalam konteks laki-laki
dan perempuan tidaklah dimaksudkan dengan semata-mata bersentuhan kulit biasa,
tetapi yang dimaksud ialah mungkin jima' (hubungan seks) atau pendahuluannya
seperti mencium, memeluk, dan sebagainya yang merupakan sentuhan disertai
syahwat dan kelazatan.
Kalau kita perhatikan riwayat yang sahih dari Rasulullah
saw., niscaya kita jumpai sesuatu yang menunjukkan bahawa semata-mata
bersentuhan tangan antara laki-laki dengan perempuan tanpa disertai syahwat dan
tidak dikhuwatirkan terjadinya fitnah tidaklah terlarang, bahkan pernah
dilakukan oleh Rasulullah saw., sedangkan pada dasarnya perbuatan Nabi saw. itu
adalah tasyri' dan untuk diteladani:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah saw. itu
suri teladan yang baik bagimu...” (al-Ahzab: 21)
Imam Bukhari meriwayatkan dalam Shahih-nya pada
"Kitab al-Adab" dari Anas bin Malik r.a., ia berkata:
"Sesungguhnya seorang hamba wanita diantara
hamba-hamba penduduk Madinah memegang tangan Rasulullah saw., lalu membawanya
pergi ke mana ia suka."
Dalam riwayat Imam Ahmad dari Anas juga, ia berkata:
"Sesungguhnya seorang hamba perempuan dari
hamba-hamba penduduk Madinah datang, lalu ia memegang tangan Rasulullah saw.,
maka beliau tidak melepaskan tangan beliau dari tangannya sehingga dia
membawanya perg ke mana ia suka."
Ibnu Majah juga meriwayatkan hal demikian.
Al-Hafizh Ibnu Hajar mengatakan dalam Fathul Bari:
"Yang dimaksud dengan memegang tangan disini ialah
kelazimannya, iaitu kasih sayang dan ketundukan, dan ini meliputi
bermacam-macam kesungguhan dalam tawadhu', kerana disebutkannya perempuan bukan
laki-laki, dan disebutkannya hamba bukan orang merdeka, digunakannya kata-kata
umum dengan lafal al-imaa' (hamba-hamba perempuan), yakni hamba perempuan yang
mana pun, dan dengan perkataan haitsu syaa'at (kemana saja ia suka), yakni ke
tempat mana saja. Dan ungkapan dengan "mengambil/memegang tangannya"
itu menunjukkan apa saja yang dilakukannya, sehingga meskipun si hamba
perempuan itu ingin pergi ke luar kota Madinah dan dia meminta kepada beliau
untuk membantu memenuhi keperluannya itu niscaya beliau akan membantunya.
Ini merupakan dalil yang menunjukkan betapa tawadhu'nya
Rasulullah saw. dan betapa bersihnya beliau dari sikap sombong."[10]
Apa yang dikemukakan oleh Ibnu Hajar itu secara garis
besar dapat diterima, tetapi beliau memalingkan makna memegang tangan dari
makna lahiriahnya kepada kelazimannya yang berupa kasih sayang dan ketundukan,
tidak dapat diterima, kerana makna lahir dan kelaziman itu adalah dua hal yang
dimaksudkan secara bersama-sama, dan pada asalnya perkataan itu harus diertikan
menurut lahirnya, kecuali jika ada dalil atau indikasi tertentu yang
memalingkannya dari makna lahir. Sedangkan dalam hal ini saya tidak menjumpai faktor
yang mencegah atau melarang dipakainya makna lahir itu, bahkan riwayat Imam
Ahmad yang menyebutkan "maka beliau tidak melepaskan tangan beliau dari
tangannya sehingga ia membawa beliau pergi kemana saja ia suka"
menunjukkan dengan jelas bahawa makna lahir itulah yang dimaksud. Sungguh
termasuk memberat-beratkan diri dan perbuatan serampangan jika keluar dari
makna lahir ini.
Lebih banyak dan lebih mengena lagi apa yang diriwayatkan
dalam Shahihain dan kitab-kitab Sunan dari Anas "bahawa Nabi saw. tidur
siang hari di rumah bibi Anas yang bernama Ummu Haram binti Milhan isteri
Ubadah bin Shamit, dan beliau tidur di sisi Ummu Haram dengan meletakkan kepala
beliau di pangkuan Ummu Haram, dan Ummu Haram membersihkan kepala beliau dari
kutu ..."
Ibnu Hajar dalam menjelaskan hadis ini mengatakan,
"Hadis ini memperbolehkan tamu tidur siang di rumah orang lain (yakni tuan
rumah) dengan memenuhi persyaratannya, seperti dengan adanya izin dan aman dari
fitnah, dan bolehnya wanita asing (bukan isteri) melayani tamu dengan
menghidangkan makanan, menyediakan keperluannya, dan sebagainya.
Hadis ini juga memperbolehkan wanita melayani tamunya
dengan membersihkan kutu kepalanya. Tetapi hal ini menimbulkan kemusykilan bagi
sejumlah orang. Maka Ibnu Abdil Barr berkata, "Saya kira Ummu Haram itu
dahulunya menyusui Rasulullah saw. (waktu kecil), atau saudaranya iaitu Ummu
Sulaim, sehingga masing-masing berkedudukan "sebagai ibu susuan" atau
bibi susuan bagi Rasulullah saw.. Kerana itu, beliau tidur di sisinya, dan dia
lakukan terhadap Rasulullah apa yang layak dilakukan oleh mahram."
Selanjutnya Ibnu Abdil Barr membawakan riwayat dengan
sanadnya yang menunjukkan bahawa Ummu Haram mempunyai hubungan mahram dengan
Rasul dari jurusan bibi (saudara ibunya), sebab ibu Abdul Muthalib, kakek Nabi,
adalah dari Bani Najjar ...
Yang lain lagi berkata, "Nabi saw. itu maksum
(terpelihara dari dosa dan kesalahan). Beliau mampu mengendalikan hasratnya
terhadap isterinya, maka betapa lagi terhadap wanita lain mengenai hal-hal yang
beliau disucikan daripadanya? Beliau suci dari perbuatan-perbuatan buruk dan
perkataan-perkataan kotor, dan ini termasuk kekhususan beliau."
Tetapi pendapat ini disangkal oleh al-Qadhi 'Iyadh dengan
argumen bahawa kekhususan itu tidak dapat ditetapkan dengan sesuatu yang
bersifat kemungkinan. Tetapnya kemaksuman beliau memang dapat diterima, tetapi
pada dasarnya tidak ada kekhususan dan boleh meneladani beliau dalam semua
tindakan beliau, sehingga ada dalil yang menunjukkan kekhususannya.
Al-Hafizh ad-Dimyati mengemukakan sanggahan yang lebih
keras lagi terhadap orang yang mengatakan kemungkinan pertama, iaitu anggapan
tentang adanya hubungan kemahraman antara Nabi saw. dengan Ummu Haram. Beliau
berkata:
"Mengigau orang yang menganggap Ummu Haram sebagai
salah seorang bibi Nabi saw., baik bibi susuan mahupun bibi nasab. Sudah
dimaklumi, orang-orang yang menyusukan beliau tidak ada seorang pun di antara
mereka yang berasal dari wanita Anshar selain Ummu Abdil Muthalib, iaitu Salma
binti Amr bin Zaid bin Lubaid bin Hirasy bin Amir bin Ghanam bin Adi bin
an-Najjar; dan Ummu Haram adalah binti Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram bin
Jundub bin Amir tersebut. Maka nasab Ummu Haram tidak bertemu dengan nasab
Salma kecuali pada Amir bin Ghanam, kakek mereka yang sudah jauh ke atas. Dan
hubungan bibi (yang jauh) ini tidak menetapkan kemahraman, sebab ini adalah
bibi majazi, seperti perkataan Nabi saw. Terhadap Sa'ad bin Abi Waqash,
"Ini pamanku" kerana Sa'ad dari Bani Zahrah, kerabat ibu beliau
Aminah, sedangkan Sa'ad bukan saudara Aminah, baik nasab mahupun susuan."
Selanjutnya beliau (Dimyati) berkata, "Apabila sudah
tetap yang demikian, maka terdapat riwayat dalam ash-Shahlh yang menceritakan
bahawa Nabi saw. tidak pernah masuk ke tempat wanita selain isteri-isteri
beliau, kecuali kepada Ummu Sulaim. Lalu beliau ditanya mengenai masalah itu,
dan beliau menjawab, 'Saya kasihan kepadanya, saudaranya terbunuh dalam
peperangan bersama saya.' Yakni Haram bin Milhan, yang terbunuh pada waktu
peperangan Bi'r Ma'unah."
Apabila hadis ini mengkhususkan pengecualian untuk Ummu
Sulaim, maka demikian pula halnya dengan Ummu Haram tersebut. Kerana keduanya
adalah bersaudara dan hidup di dalam satu rumah, sedangkan Haram bin Milhan
adalah saudara mereka berdua. Maka 'illat (hukumnya) adalah sama diantara
keduanya, sebagaimana dikemukakan oleh Ibnu Hajar.
Dan ditambahkan pula kepada 'illat tersebut bahawa Ummu
Sulaim adalah ibu Anas, pelayan Nabi saw., sedangkan telah berlaku kebiasaan
pergaulan antara pelayan, yang dilayani, serta keluarganya, serta ditiadakan
kekhuwatiran yang terjadi diantara orang-orang luar.
Kemudian ad-Dimyati berkata, "Tetapi hadis itu tidak
menunjukkan terjadinya khalwat antara Nabi saw. dengan Ummu Haram, kemungkinan
pada waktu itu disertai oleh anak, pembantu, suami, atau pendamping."
Ibnu Hajar berkata, "Ini merupakan kemungkinan yang
kuat, tetapi masih belum dapat menghilangkan kemusykilan dari asalnya, kerana
masih adanya mulamasah (persentuhan) dalam membersihkan kutu kepala, demikian
pula tidur di pangkuan."
Al-Hafizh berkata, "Sebaik-baik jawapan mengenai
masalah ini ialah dengan menganggapnya sebagai kekhususan, dan hal ini tidak
dapat ditolak oleh keberadaanya yang tidak ditetapkan kecuali dengan dalil,
kerana dalil mengenai hal ini sudah jelas."[11]
Tetapi saya tidak tahu mana dalilnya ini, samar-samar
ataukah jelas?
Setelah memperhatikan riwayat-riwayat tersebut, maka yang
mantap dalam hati saya adalah bahawa semata-mata bersentuhan kulit tidaklah
haram. Apabila didapati sebab-sebab yang menjadikan percampuran (pergaulan)
seperti yang terjadi antara Nabi saw. dengan Ummu Haram dan Ummu Sulaim serta
aman dari fitnah bagi kedua belah pihak, maka tidak mengapalah berjabat tangan
antara laki-laki dengan perempuan ketika diperlukan, seperti ketika datang dari
perjalanan jauh, seorang kerabat laki-laki berkunjung kepada kerabat wanita
yang bukan mahramnya atau sebaliknya, seperti anak perempuan paman atau anak
perempuan bibi baik dari pihak ibu mahupun dari pihak ayah, atau isteri paman, dan
sebagainya, lebih-lebih jika pertemuan itu setelah lama tidak berjumpa.
Dalam menutup pembahasan ini ada dua hal yang perlu saya
tekankan:
Pertama, bahawa berjabat tangan antara laki-laki dan
perempuan itu hanya diperbolehkan apabila tidak disertai dengan syahwat serta
aman dari fitnah. Apabila dikhuwatirkan terjadi fitnah terhadap salah satunya,
atau disertai syahwat dan taladzdzudz (berlazat-lazat) dari salah satunya (apa
lagi keduanya; penj.) maka keharaman berjabat tangan tidak diragukan lagi.
Bahkan seandainya kedua syarat ini tidak terpenuhi -
iaitu tiadanya syahwat dan aman dari fitnah - meskipun jabatan tangan itu
antara seseorang dengan mahramnya seperti bibinya, saudara sesusuan, anak
tirinya, ibu tirinya, mertuanya, atau lainnya, maka berjabat tangan pada
kondisi seperti itu adalah haram.
Bahkan berjabat tangan dengan anak yang masih kecil pun
haram hukumnya jika kedua syarat itu tidak terpenuhi.
Kedua, hendaklah berjabat tangan itu sebatas ada
keperluan saja, seperti yang disebutkan dalam pertanyaan di atas, iaitu dengan
kerabat atau semenda (besan) yang terjadi hubungan yang erat dan akrab diantara
mereka; dan tidak baik hal ini diperluas kepada orang lain, demi membendung
pintu kerosakan, menjauhi syubhat, mengambil sikap hati-hati, dan meneladani
Nabi saw. - tidak ada riwayat kuat yang menyebutkan bahawa beliau pernah
berjabat tangan dengan wanita lain (bukan kerabat atau tidak mempunyai hubungan
yang erat).
Dan yang lebih utama bagi seorang muslim atau muslimah -
yang komitmen pada agamanya - ialah tidak memulai berjabat tangan dengan lain
jenis. Tetapi, apabila diajak berjabat tangan barulah ia berjabat tangannya.
Saya tetapkan keputusan ini untuk dilaksanakan oleh orang
yang memerlukannya tanpa merasa telah mengabaikan agamanya, dan bagi orang yang
telah mengetahui tidak usah mengingkarinya selama masih ada kemungkinan untuk
berijtihad.
Wallahu a'lam.
______________________________________
Nota kaki:
1. Lihat al-Ikhtiar li Mukhtar
fi Fiqhil Hanafyah, 4: 155.
2. Ibid., 4: 156-157
3. Perbuatan yang mereka
ada-adakan antara tangan dengan kaki mereka itu maksudnya ialah mengadakan
pengakuan-pengakuan palsu mengenai hubungan antara laki-laki dengan wanita
seperti tuduhan berzina, tuduhan bahawa anak si Fulan bukan anak suaminya, dan
sebagainya. (Al-Qur'an dan Terjemahannya, catatan kaki nombor 1473; penj.)
4. HR Bukhari dalam sahihnya,
dalam "Kitab Tafsir Surah al-Mumtahanah," Bab "Idzaa Jaa'aka
al-Mu'minaatu Muhaajiraat."
5. Al-Mundziri berkata dalam
at-Targhib: "Perawi-perawi Thabrani adalah orang-orang tepercaya,
perawi-perawi yang sahih."
6. Beliau (al-Hakim)
mengisyaratkan kepada riwayat asy-Syaikhani dan lainnya dan hadis Ibnu Maswud,
dan dalam sebahagian riwayat-riwayatnya: Bahawa seorang laki-laki datang kepada
Nabi saw. Lalu dia mengatakan bahawa dia telah berbuat sesuatu terhadap wanita,
mungkin menciumnya, menyentuh dengan tangannya, atau perbuatan lainnya,
seakan-akan ia menanyakan kafaratnya. Lalu Allah menurunkan ayat (yang
ertinya), “Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang)
dan pada bahagian permulaan dari malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang
baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan yang buruk...” (Hud: 114) (HR
Muslim dengan lafal ini dalam "Kitab at-Taubah," nombor 40)
7. Lihat, al-Mustadrak, 1:
135.
8. Majmu' Fatawa, Ibnu
Taimiyah, terbitan ar-Riyadh, jilid 21, hlm. 223-224.
9. Ibid.
10. Fathul Bari, juz 13.
11. Fathul Bari 13: 230-231.
dengan beberapa perubahan susunan redaksional
*Yusuf Qardhawi.: Fatwa Qardhawi, permasalahan, pemecahan dan hikmah
Tidak ada komentar:
Posting Komentar